Teks Ucapan Wakil Murid

>> Isnin, 18 Mei 2009



Gambar 1 : Ketua Murid Sedang Memberi Ucapan

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang berusaha, En Mustafa Bin Yahya, Tuan Guru Besar SK Jengka 12, Guru-guru penolong kanan, yang diraikan para guru, barisan pengawas sekolah serta rakan -rakan sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinannya, maka dapat kita bersama-sama pada hari ini, untuk menyambut Hari Guru Tahun 2009.

Minta daun diberi daun,
Dalam daun ada bidara
Minta pantun diberi pantun
Dalam pantun ada bicara.

16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah “ Guru Pembina Negara Bangsa”. Tema ini adalah tepat sekali berdasarkan peranan guru dalam mendidik anak bangsa. Gurulah yang membentuk peribadi murid-murid yang mana murid-murid ini merupakan bakal pemimpin negara. Murid-murid ini juga suatu hari nanti akan bekerja di pelbagai sektor yang mana ianya bidang yang sangat diperlukan oleh negara. Jadi ini menunjukkan bahawa murid-murid ini telah dibentuk oleh para guru sejak dari awal persekolahan lagi supaya mereka akan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara suatu masa kelak.

Ketahuilah,
Guru adalah guru kepada seorang buruh,
Guru adalah guru kepada seorang nelayan,
Guru adalah guru kepada seorang petani,
Guru adalah guru kepada seorang mekanik,
Guru adalah guru kepada seorang jururawat,
Guru adalah guru kepada seorang doktor,
Guru adalah guru kepada seorang pengarah,
Guru adalah guru kepada seorang ahli perniagaan,
Guru adalah guru kepada seorang jutawan,
Guru adalah guru kepada seorang peguam,
Guru adalah guru kepada seorang hakim,
Guru adalah guru kepada seorang menteri,
Guru adalah guru kepada seorang raja
Dan,
Yang paling istimewa,
Guru adalah guru kepada seorang guru


Setiap insan di dunia belajar dari seorang guru. Dalam Islam, guru adalah manusia yang wajib dihormati selepas ibubapa. Malah menghormati guru adalah satu kewajipan terhadap setiap manusia. Mematuhi arahan guru adalah sangat dituntut supaya apa yang kita belajar menjadi berkat dan dirahmati yang maha Esa.

Rakan-rakan sekalian,
Marilah kita tanamkan azam, untuk belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk diri kita dan ibu-bapa kita tetapi untuk guru-guru yang banyak berkorban masa dan tenaga demi untuk kecemerlangan kita semua. Saya pasti, guru juga akan berasa bangga jika kita berjaya tetapi akan turut berasa kecewa jika kita gagal.

Kepada semua guru, saya mewakili seluruh murid memohon ampun dan maaf, andaikata ada di antara kami melakukan kesalahan kepada cikgu-cikgu sama ada kami sedar ataupun tidak.

Budah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kami sememangnya baru belajar,
Kalau salah tolong maafkan.

Semoga sambutan hari guru tahun ini akan memberi makna yang besar dalam kehidupan para guru sekalian. Selamat hari guru daripada kami semua, murid-murid SK Jengka 12.

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah , wassalamualaikum wbh.

0 ulasan:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP