Wawancara Dengan Menteri Pelajaran

>> Selasa, 26 Mei 2009

Petikan dari Utusan Online





SEMEMANGNYA sudah menjadi tradisi pada 16 Mei setiap tahun, kita akan menyambut Hari Guru. Pelbagai acara diadakan sama ada di peringkat sekolah mahupun negara. Namun perkara yang lebih penting daripada sambutan itu ialah sejauh manakah rakyat negara ini menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh guru-guru?
Kita tidak menafikan dalam zaman yang semakin berubah, peranan guru juga semakin mencabar dan ketika ini pelbagai cabaran dihadapi oleh mereka yang berada dalam dunia perguruan. Bagi mengupas isu ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD dan ZULKIFLEE BAKAR mewawancara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Sudah tentulah dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor dua di negara ini, harapan golongan guru kepada beliau adalah tinggi, justeru dalam pertemuan di Putrajaya, Muhyiddin diminta mengulas pelbagai isu berkaitan dunia perguruan termasuklah soal disiplin pelajar yang turut dikaitkan dengan tanggungjawab guru.

Selain itu, beliau juga menegaskan mengenai hasrat kementerian untuk memastikan mulai tahun depan, prestasi sesebuah sekolah bukan sahaja diukur dari sudut pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sahaja, malah ia akan dilakukan secara lebih holistik.

Muhyiddin dalam pertemuan hampir sejam itu turut menegaskan, hasrat Kementerian Pelajaran untuk membentuk satu tahap penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan.

MINGGUAN: Apakah harapan Tan Sri sempena Hari Guru?

MUHYIDDIN: Kita tahu pelajaran adalah sesuatu paling diutamakan, disebabkan itu peranan guru semakin bertambah penting dan sebagai pendidik mereka bertanggungjawab untuk membangunkan minda generasi muda.

Kita mahu supaya anak-anak kita menjadi pelajar yang cemerlang menguasai semua ilmu dan bidang. Pada masa ini kita memberi penekanan kepada peningkatan mutu ataupun kualiti, baik dari segi pendidikan mahu pun pembelajaran. Bagi mencapai hasrat berkenaan kita menekankan pentingnya guru terlatih, kita tidak mahu hanya menumpukan kepada soal penyediaan infrastruktur sebaliknya berusaha melahirkan guru terlatih.

Ia membolehkan mereka mempunyai cukup kepakaran dan kemahiran supaya dia dapat menyampaikan ilmu dan pengetahuan dengan baik kepada anak-anak. Saya selalu menekankan soal pentingnya kecemerlangan bukan pada tahap biasa tetapi lebih daripada itu. Jadi kita akan menekankan soal latihan kepada guru dan penyediaan bahan sokongan bagi mempermudahkan sistem pembelajaran dijalankan.

Di samping itu, kita mahu guru sentiasa bermotivasi dan bersemangat untuk bekerja, bagi tujuan tersebut, tumpuan juga akan diberikan kepada soal kebajikan mereka. Pada masa ini sudah ada cerita soal bebanan kerja yang banyak dan murid pula bertambah dan sebagainya, ini menyebabkan peranan guru sudah melepasi batas biasa. Oleh itu kita hendak mencari jalan supaya mereka tidak terbeban dengan tugas yang lebih daripada sepatutnya supaya dia lebih bermotivasi dan melihat kerjayanya sebagai sesuatu yang dihormati dan sebab itu penting untuk kita memelihara kerjaya perguruan ini.

Dulu masyarakat cukup menghormati golongan guru, pada pandangan Tan Sri apakah benar sekarang ini perasaan itu sudah berkurangan?

MUHYIDDIN: Perguruan adalah profesion mulia, memang kalau ikut sejarah daripada dulu pun pandangan masyarakat terhadap guru adalah tinggi. Ia kerana sebagai pendidik, tugas itu bukan boleh dilakukan sesiapa sahaja memandangkan ilmu disampaikan oleh orang yang berilmu, cuma soal yang berbangkit sekarang ini apakah persepsi masyarakat terhadap guru itu sudah berubah? Saya fikir tidak begitu, masih ada penghormatan masyarakat terhadap guru, kalau ada masalah berbangkit mengenai guru, saya fikir tidaklah meluas sehingga guru sekarang tidak dipandang tinggi oleh masyarakat.

Apapun kita hendak bentuk satu tahap penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan dan untuk itu harus ada interaksi yang lebih rapat antara masyarakat dengan sistem pendidikan yang ada dalam negara kita. Kalau ibu bapa tidak faham dengan sistem yang kita amalkan dan dia tidak tahu bagaimana guru membimbing anak-anak serta mengamalkan sikap ‘serah bulat-bulat’ anak kepada sekolah, maka ini akan menimbulkan masalah.

Atas sebab itu adalah penting wujud hubungan yang lebih akrab dan kefahaman yang mendalam terhadap peranan guru di sekolah supaya masyarakat boleh menilai dan menghargai bukan sekadar hanya bersandarkan kepada keputusan peperiksaan. Kita perlu melihat secara holistik soal pembinaan insan kamil itu dan bukan hanya kepada soal pelajaran tetapi lain-lain lagi, jadi jika masyarakat faham betapa penting pendidik itu adalah orang berilmu maka penghormatan akan menjadi tinggi.

Mungkin harapan masyarakat kepada guru lebih tinggi berbanding dulu?

MUHYIDDIN: Ya, mungkin lebih tinggi kerana ia berkaitan dengan sistem pendidikan kita yang banyak bersandarkan kepada prestasi peperiksaan. Jadi yang itu kita akan ubah supaya sistem pendidikan bukan hanya bersandarkan kepada peperiksaan cemerlang. Kita sudah setuju tahun depan, ukuran prestasi sekolah akan dibuat dengan lebih holistik, dengan cara begitu guru akan lebih terfokus dan masyarakat akan lebih faham dan membantu guru supaya sistem pembelajaran itu akan lebih kondusif.

0 ulasan:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP