Meniru dalam Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK)

>> Khamis, 27 Ogos 2009

sumber : www.zaharuddin.net




Soalan

Salam,

Apa pandangan ustaz guru lulus ujian PTK dan mendapat anjakan gaji dengan meniru semasa peperiksaan (PTK tersebut), bagaimana dengan kenaikan gaji (duit) yang diperolehinya?

- 60138807885 -


Jawapan

Wa'alaikumussalam,


Saya kira, pembaca sekalian pun mampu memberi jawapannya. Cuma saya agak pelik jika perkara ini benar-benar berlaku, jika guru pun meniru, sudah tentu anak muridnya di sekolah juga akan jadi kaki meniru.

Anak murid kaki meniru itu pula akan menjadi guru di masa hadapan dan juga meniru dalam PTK nya, maka kitaran orang meniru akan menjadi semakin panjang dan kualiti semakin kurang sehingga lahirlah penganggur dan pekerja yang tidak produktif, kaki bodek dan rasuah.


Dari sudut hukum, asasnya adalah :-

1) Meniru itu adalah menipu, dan menipu hukumnya haram. Sebuah hadis :-


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)" (Riwayat Muslim, 1/99)


2) Pernah juga di riwayatkan bahawa :-

إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) ( Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312 )

3) Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata :-

قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

Ertinya : "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya" ( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )


Dari kedua-dua dalil di atas, jelas kepada kita hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram bagi guru dan murid kerana ia adalah satu bentuk penipuan.


Dari hadis ketiga juga dapat difahami setiap hasil keuntungan duniawi yang terhasil dari yang haram, maka hukumnya adalah haram jua. Tatkala itu, kenaikan gaji guru tadi juga adalah dikira pendapatan yang haram.


Amat malang, penipuan yang memberi manfaat dunia seperti ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari kehidupan akhirat mereka dalam bahaya apabila kehidupan harian mereka dikelilingi oleh duit kenaikan gaji dan untung haram tanpa mereka sedari.


Dosa ini ibarat 'time bomb' yang amat menderitakan di alam barzakh, ibarat 'time bomb' yang akan meletup sejurus seorang itu disapa kematian. Mati dalam keadaan sebegini, adalah mati dengan penuh dosa disebabkan hartanya.


Tindakan


Tindakan ' u turn' bagi mereka yang telah terlanjur begini adalah dengan segera bertawbat, melupuskan harta yang haram secara ansuran, memperbanyakkan sedeqah dan juga meningkatkan kualiti diri sesuai dengan nilai 'PTK tipu' yang diperolehinya.


Itu sahaja yang sempat saya fikirkan sebagai jalan keluar di ketika ini. Moga orang yang terjebak akan beroleh keampunan Allah SWT.


Ke Kubur Juga Akhirnya

Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jarang kenikmatan sementara ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya?. Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia. Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja.

Nabi SAW bersabda :-

أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت

Ertinya : "Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT" ( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)



Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

27 Ogos 2007

14 Syaaban 1428 H

0 ulasan:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP